Keputusan UPSR 2015

Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini meningkat sebanyak 0.02 mata Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 2.29 mata tahun lalu kepada 2.27 mata GPN tahun ini.

Keputusan UPSR boleh disemak melalui mySMS 15888



Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata peratusan pelajar mencapai semua A menyaksikan peningkatan sebanyak 0.76 peratus tahun ini iaitu daripada 7.89 peratus pada tahun 2014 kepada 8.65 peratus tahun ini.

"Ia membabitkan seramai 38,344 daripada 443,407 calon tahun ini berbanding 36,304 daripada 460,407 calon tahun lalu," katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Analisis Keputusan UPSR Tahun 2015 di Kementerian Pendidikan di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun, katanya, calon yang mendapat pencapaian Baik (minimum Gred C, tidak termasuk semua Gred A) menurun sebanyak 1.34 peratus iaitu 57.69 peratus tahun ini berbanding 59.03 peratus pada tahun lalu.

Dr Khair berkata, peratusan calon yang mendapat pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum (semua Gred D dan Gred E atau kombinasi kedua-dua gred) menurun sebanyak 0.21 peratus iaitu daripada 2.87 peratus tahun lalu kepada 2.66 peratus tahun ini.

"Peratusan kumpulan calon di bawah tahap penguasaan minimum ini adalah yang terendah dalam tempoh empat tahun," katanya. Beliau berkata, empat mata pelajaran menyaksikan peningkatan Subjek Gred Purata (GPMP) iaitu Matematik, Bahasa Melayu (Pemahaman) , Bahasa Melayu (Penulisan) dan Sains manakala Bahasa Inggeris menurun. | Sumber: BHarian
Previous
Next Post »
Thanks for your comment