Wan Raja bawa watak lelaki lembut


Wam Raka pernah mencetuskan kontroversi apabila membintangi filem sensasi dot dot Dalam Botol, lima tahun lalu, dia tidak gentar andai kemunculan terbaharunya membawakan watak lelaki lembut dalam drama rantaian, Andartu Kau Bidadariku dikecam peminat.

Akur watak yang dibawa bakal mengundang pelbagai persepsi, Wan Raja berharap, perkara itu tidak dijadikan isu kerana sebagai pelakon, beliau terbuka menerima apa sahaja karakter yang mencabar kemampuannya untuk menjadi insan seni serba boleh.

"Selepas sedekad berlakon, saya perlu mencari cabaran baharu untuk terus menguji kemampuan diri. Tawaran membawa watak lelaki lembut adalah antara karakter yang ditunggu-tunggu. Dalam teruja, saya akui agak gementar untuk memastikan lakonan saya menjadi dan tidak dibuat-buat.

"Meskipun membawa watak lelaki lembut tetapi pengarah mahukan saya supaya mengekalkan jambang dan misai pada wajah," katanya. Wan Raja atau nama sebenarnya Saiful Redzuan Abu Bakar, 38, berkata, meskipun sudah lama mengimpikan watak itu namun dirinya tidak mengambil mudah malah banyak melakukan kajian menerusi pemerhatian, selain bergaul dengan golongan itu.

"Saya memerhatikan pergerakan dan gaya mereka, malah kru di lokasi penggambaran juga banyak membantu dan memberi tunjuk ajar supaya watak yang dibawa meninggalkan kesan," katanya. Disebabkan terlalu menghayati karakter, Wan Raja mengakui dirinya terbawa-bawa dengan perwatakan itu ketika di rumah dan di set penggambaran lain.

"Bayangkan ketika sedang menjalani latihan untuk watak pendekar dalam sebuah pementasan teater yang memerlukan ketegasan, saya menjerit seperti lelaki lembut. Begitu juga di rumah ketika berbual dengan isteri. Ada ketika, saya terlepas lenggok lembut membuatkan isteri tertawa," kata suami kepada pelakon Yaya Maembong ini.

Wan Raja bersyukur masih dapat meneruskan survivalnya dalam industri hiburan meskipun namanya tidak begitu popular berbanding pelakon lelaki lain. Baginya, peluang yang sentiasa ada memberinya keyakinan untuk terus aktif dan selalu berpijak di bumi nyata.

"Saya bukan pelakon yang kacak, jadi mungkin kurang sesuai untuk diberikan watak hero. Saya sentiasa bersedia apabila ditawarkan watak sampingan kerana kejayaan sesebuah produksi adalah hasil kerja berpasukan. Alhamdulillah, prinsip itu membantu saya untuk sentiasa ada dan tidak pernah hilang dari dunia seni," katanya. - BHarian
Previous
Next Post »
Thanks for your comment