Pandangan peribadi Datuk Shake tidak mewakili Astro


"Kenyataan yang dibuat oleh Datuk Shake ketika awal siaran AF 2016 tadi (semalam) adalah pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili pihak Astro. Kemungkinan soalan itu sebaiknya diajukan kepada Datuk Shake sendiri kerana beliau lebih memahami.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, menegaskan beliau percaya kredibiliti juri jemputan yang dipilih oleh pihak produksi pada setiap minggu memberi sumbangan kepada peningkatan peserta program realiti Akademi Fantasia (AF) 2016.

Raqim berkata, sebarang kenyataan yang dibuat oleh pengetua AF 2016, Datuk Shake, tidak mewakili seluruh tenaga kerja program realiti terbabit kerana ia adalah pendapat peribadi beliau.

"Bagi pihak Astro sendiri, kami berpegang kepada keputusan yang dibuat kerana mereka dipilih berdasarkan kredibiliti dan pencapaian dalam bidang seni. Sekali gus, kritikan yang diberikan kepada peserta dapat membantu perkembangan kerjaya mereka," katanya.

Menurut Raqim, pihak Astro tetap dengan pendirian dan prinsip mereka di mana setiap juri dipilih selepas menjalankan kajian, mendengar pendapat penggiat industri dan juga melihat sumbangan mereka kepada persada seni tempatan.

Justeru, katanya, pihak Astro enggan mengambil pendekatan memilih juri berdasarkan keselesaan sebelah pihak semata-mata. Raqim berkata, insiden salah faham antara juri dan pengetua bukanlah sesuatu yang baharu dalam program berkenaan.

"Tidak perlu kita imbas, tetapi tahun sebelumnya juga juri dan pengetua tidak sebulu. Insiden yang berlaku antara Datuk Shake dan Fauziah Ahmad Daud bukanlah sesuatu yang baharu, terutama dalam program realiti," kata Raqim.

Terdahulu, pada awal pertandingan separuh akhir, malam tadi, Datuk Shake mengeluarkan kenyataan berkenaan juri jemputan seperti menunjukkan beliau tidak berpuas hati dengan insiden minggu lalu. Keadaan menjadi tegang apabila Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy yang hadir sebagai juri jemputan 'memarahi' seorang peserta rancangan itu.

Ogy semakin berang apabila ada peserta yang bersikap sambil lewa dan tersenyum ketika dikritik, namun Datuk Shake tidak semena-mena mengambil keputusan untuk keluar dari dewan.
Previous
Next Post »
Thanks for your comment