Amir Juara AF2016

Juara AF2016

Amir Syazwan Masdi muncul juara program realiti Akademi Fantasia (AF) 2016 pada konsert akhir di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, malam tadi. Mohamad Ammal Shafiq Osman (Amal) pula muncul naib juara, Kareshma Martin John Patrick (Reshma) di tempat ketiga, Nurfarrah Izzatie Johari (Ara) akur di tangga keempat manakala Nur Hafizah Longkip @ Thomas (Afi) berpuas hati menduduki tempat kelima.

Menerusi kemenangan itu, Amir, 20, yang turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Fantasi D Herbs menerima wang tunai RM50,000, trofi AF2016 dan kredit membeli-belah sebanyak RM5,000. Amal pula membawa pulang RM20,000, trofi AF2016 dan kredit membeli belah RM4,000 manakala Reshma di tangga ketiga menerima RM15,000, trofi AF2016 dan kredit membeli-belah RM3,000.

Ara di tempat keempat menerima RM10,000, trofi AF2016 dan kredit membeli-belah RM2,000. Sementara itu, Afi yang berada di tempat kelima membawa pulang hadiah RM5,000, trofi dan juga kredit membeli-belah RM2,000.

Pada konsert akhir, semua pelajar diberikan dua tugasan dengan menyampaikan sebuah lagu penyanyi lain dan satu lagu baharu masing-masing. Selaku juara, Amir tampil dengan lagu Romantis nyanyian asal kumpulan Spring dan lagu baharu Pemilik Cinta.

Amal pula mempersembahkan lagu Bukan Diriku nyanyian asal Samson dan lagu baharu, Aku Kejar. Reshma di tempat ketiga menyampaikan lagu baharu berjudul Sagang Jadi Benci serta lagu Bad Romance yang pernah dipopularkan oleh Lady Gaga.

Sementara itu, Ara muncul dengan Camar Yang Pulang nyanyian asal Aishah dan lagu baharu Warkah Untukku manakala Afi tampil dengan lagu Teruskan dan juga lagu yang pernah dipopularkan oleh Noraniza Idris berjudul Hatinya Tak Tahan.

Kumpulan KRU, Indigo serta Pengetua AF 2016, Datuk Shake turut menghiburkan penonton untuk segmen selingan. Konsert akhir AF2016 yang mula bersiaran sejak 21 Ogos lalu menyaksikan Zizan Razak dan Alif Sattar bertindak sebagai pengacara. Pengkritik pula dibarisi juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk AC Mizal serta juri undangan iaitu Datuk M Nasir. - BHarian
Previous
Next Post »
Thanks for your comment