Faralyna masih mahu berlakon


Baru-baru ini, produksi Zeel Production pula melamar Faralyna membintangi drama 20 episod, Amsyar bagi slot Azalea di TV3. Biarpun sekadar membawa watak pembantu iaitu Arfah, ibu kepada Amsyar lakonan Ben Ladin, ia menjadi permulaan terbaik buat Faralyna.

Selepas dua tahun memperlahankan rentak seni bagi memberi tumpuan kepada rumah tangga, Faralyna Idris mengaku minat terhadap dunia lakonan masih menebal. Malah, ketika anaknya, Fira Anggun berusia lima bulan, pengarah Rashid Sibir mengundangnya menjalani penggambaran selama sehari dalam projek drama Tiga Langit Terbuka.

"Memang selama ini saya tidak berniat berhenti berlakon. Tapi apabila memikirkan anak yang baharu membesar, saya tahan diri dan korbankan minat seketika. "Pada masa sama, saya menguruskan syarikat fotografi dan video suami di bawah nama DoubleF Studio," katanya.

Menceritakan kenangan berlakon sehari dalam drama Tiga Langit Terbuka, Faralyna berkata: "Ia cukup meletihkan. Saya bawa Fira ke lokasi penggambaran kerana dia menyusu badan," katanya yang tidak menggunakan khidmat pembantu rumah.

Faralyna berkahwin dengan Muhammad Fikri Abdullah pada Disember 2014. Menjadi ibu pada usia 25 tahun, Faralyna menyifatkan ia pengalaman menyeronokkan.

"Dulu masa hidup berdua, kalau suami keluar bekerja, tinggallah saya seorang diri di rumah. "Sekarang sudah ada anak, dialah jadi peneman. Sekarang Fira sudah pandai berborak dan mengajak kita bermain. Saat paling indah ialah bangun pagi dan menatap wajah anak," katanya.

Mengenai perubahan dirinya yang sudah bertudung, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Asmara itu memberitahu, dia berhijab tidak sampai dua bulan selepas berkahwin. "Sudah lama saya merancang bertudung. Cuma ada saja yang menghalang. Tapi selepas berkahwin, saya banyak berfikir dan perlu tunjuk contoh baik kepada anak kami.

"Alhamdulillah, saya lihat status perkahwinan sebagai keputusan tepat untuk bertudung. Ia tuntutan wanita Islam dan bapa saya sendiripun seronok dengan keputusan itu," katanya. _ BHarian
Previous
Next Post »
Thanks for your comment