Hafreez Adam tidak berkongsi soal peribadi

Dia tetap berpegang pada prinsip untuk tidak mendedahkan cerita cinta demi menjaga hati banyak pihak.

Mengakui sudah berpunya, namun pelakon sedang mencipta nama, Hafreez Adam enggan mengulas panjang apabila setiap kali diaju soalan mengenai hubungan cintanya.

Hafreez

Kata pelakon yang semakin meningkat naik itu, dia tahu ada yang mula melabel dirinya sombong hanya kerana enggan menjawab pertanyaan membabitkan soal peribadi.

�Ada yang tanya bila hendak menamatkan zaman bujang dan saya memilih untuk tidak menjawab pertanyaan itu. Saya ada terdengar sesetengah pihak cakap saya sombong kerana menolak untuk menjawab soalan terbabit.

�Tetapi, setiap manusia ada prinsip dan saya rasa semua orang boleh hormat pendirian masing-masing. Saya sedar, sebagai pelakon susah untuk saya mengelak daripada diajukan soalan berbaur peribadi. Namun, saya harus seimbangkan permintaan keluarga dan kerjaya.

�Dari awal karier sehingga kini keluarga sentiasa dengan saya. Tidak ada sebab mengapa saya harus menggembirakan mereka yang baru saya kenal dengan menjawab pertanyaan (berkaitan cinta) diajukan berbanding menjaga hati keluarga,� katanya.

Berbicara mengenai keputusan untuk bertegas supaya tidak berkongsi soal peribadi jelas pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Hati Perempuan itu, pembabitannya dalam bidang seni bermula secara kebetulan, namun dia tidak mahu mensia-siakan peluang dan rezeki yang datang.

�Hendak diikutkan asalnya saya menyertai satu pertandingan pencarian model dengan fokus mahu menjadi peragawan. Sebaliknya rezeki dalam bidang lakonan datang dulu sewaktu saya menemani rakan menjalani uji bakat. Waktu itu pengarah meminta saya turut melakukannya (uji bakat). Tidak sangka pula rezeki berpihak kepada saya.

�Saya bukan seorang yang sejak kecil lagi memasang angan-angan mahu menjadi pelakon tetapi peluang itu datang kepada saya. Sebab itu saya tidak mahu mencemarkan rezeki yang dikurniakan dengan perkara yang tidak sepatutnya.

�Cerita peribadi menjadi bahan bualan melebihi lakonan dan waktu sama kerjaya seni masih lagi berada pada tahap sama. Saya tidak mahu berdepan dengan situasi seperti itu. Seharusnya peminat bercakap mengenai lakonan saya,� katanya.

Walaupun namanya semakin dikenali sepanjang tiga tahun membabitkan diri dalam bidang seni dan memenangi Anugerah Artis Baru Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH2014), Hafreez berasakan dia masih perlu bekerja keras untuk berdiri kukuh sebagai pelakon.

Tegas Hafreez, dia mahu dikenali kerana bakat dan tidak sekadar cerita peribadi mahupun kontroversi.

Katanya, dengan lambakan kisah yang tidak ada kaitan dengan kerjaya seni dijaja bimbang kelak ia akan merosakkan reputasinya.

Lebih mementingkan graf cerita dan karakter, Hafreez menegaskan, dia tidak pernah mengejar populariti sebaik melangkah masuk ke dunia lakonan.

Perkara itu turut mempengaruhi dirinya dalam membuat keputusan untuk memilih watak yang dapat memberikan perubahan pada corak lakonan.

Sepanjang kembara seninya, tiga nama watak yang pernah dijayakan cukup �melekat� pada dirinya dan diingati penonton iaitu Daniel Idrus menerusi Hati Perempuan, Badri Fathul (Bila Hati Berbicara) dan Doktor Armand (Tersuka Tanpa Sengaja).

Hafreez menjelaskan, dia tidak kisah melakonkan watak pembantu walaupun dikatakan sudah punya nama. Paling penting buatnya adalah kelainan yang dibawa setiap kali berlakon sama ada dalam drama bersiri mahupun telefilem.

�Saya pelakon baru yang tidak punya pengetahuan mengenai lakonan. Saya belajar di lokasi penggambaran. Kalau saya bawa watak yang sama, saya tidak rasa ilmu lakonan saya berkembang.

�Tiga watak yang orang ingat itu semua mempunyai karakter berlainan. Sebagai contoh Daniel Idrus, wataknya digambarkan berdepan dengan cinta tragis apabila heroin drama itu meninggalkan dirinya. Daniel berusaha memenangi hati watak utama itu dengan cara baik di peringkat awal dan kemudian bertukar psiko dan jahat dan di pengakhiran dia insaf.

�Watak Daniel banyak turun naik daripada sudut emosi. Perkara seperti itu yang saya cari dalam karakter. Saya harus meneroka watak lain bagi mendapatkan input berbeza. Saya sanggup tolak watak utama andai ia kurang mencabar atau sama dengan apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini,� katanya.

Hafreez akui watak utama selalunya akan membuatkan seseorang pelakon itu menjadi popular dengan pantas. Bagaimanapun katanya, dia lebih mementingkan kualiti berbanding populariti.

Bercerita mengenai drama terbaru dibintangi, Gantung, Hafreez yang bergandingan dengan pelakon Indonesia, Randy Pangalila, Mentari de Marelle, Brandon Salim dan Gita Sucia berharap karya itu dapat diterima tidak saja di Malaysia tetapi juga Indonesia.

�Saya terima tawaran berlakon dalam Gantung kerana ia mempunyai jalan cerita serta karakter menarik. Saya memegang watak sebagai Troll, seorang atlet kolej yang nakal. Gantung adalah satu idea baru dan segar.

�Apabila cerita ini diterima, mungkin ia membuka peluang kepada orang lain untuk menghasilkan sebuah cerita yang tidak berpaksikan kahwin paksa. Harap Gantung akan menjadi permulaan pada jalan cerita yang baru,� katanya.

Sumber HMetro
Previous
Next Post »
Thanks for your comment