�Kelip-kelip kusangka api,
Jikalau api dimana sumbunya,
Hilang ghaib ku sangka mati,
Jikalau mati, dimana kuburnya?�
Kepercayaan masyarakat seperti mandi bunga untuk membuang sial, mewarisi saka, hantu-hantu akan berkeliaran pada malam Jumaat merupakan kisah-kisah mistik yang selalu diceritakan. Namun, perkara-perkara khurafat ini yang terpesong dari ajaran agama boleh mendatangkan mudarat jika kita mempercayai secara melulu.
Menyusuli �Wadi� di slot Zehra, TV3 mengajak penonton setianya untuk mengikuti 13 kisah mistik dalam �Kifarah Mistik� yang telah disiarkan bermula 16 Oktober pada setiap hari Jumaat, pukul 9 malam. 13 kisah mistik yang dipaparkan ialah Mandi Bunga, Orang Ketiga, Pengasih, Malam Jumaat, Celupar, Gelandangan, Pendamping, Gantung, Silap Mata, Haruman Setanggi, Nifaq, Panas dan Malar Hitam.
Episod Pertama: Mandi Bunga (16 Oktober)
Sesetengah masyarakat kita masih percaya bahawa dengan bermandikan bunga mampu membuang nasib malang. Mak Bedah bimbang dengan anak perempuannya, Milah yang sering putus tunang
Pada mata Mak Bedah, Milah cukup sempurna kerana dia bukan hanya cantik malah sudah berkerjaya selepas memiliki sebuah butik pakaian. Sebenarnya, Mak Bedah tidak tahu bahawa setiap hubungan Milah itu tidak menjadi kerana Milah yang terlalu cerewet dan sombong.
Mak Bedah telah membawa Milah bertemu dengan seorang bomoh moden untuk memandikan Milah dengan bunga-bungaan atas niat mahu membuang nasib malang Milah. Setelah selesai bermandi bunga, Milah kelihatan lebih menarik menurut Mak Bedah.
Zamri, seorang duda yang kematian isteri terpikat dengan Milah. Milah juga menyukainya. Hari demi hari, minggu demi minggu, tibalah saat Zamri menikahi Milah. Namun, pada saat Tok Kadi meminta tandatangan Milah, Milah tiba-tiba pengsan.
Episod Kedua: Orang Ketiga (23 Oktober)
Syarikat pengiklanan Adam mula mengalami kerugian kerana persaingan yang semakin sengit. Beberapa pekerjanya turut berhenti kerana sudah dua bulan gaji tidak dibayar.
Hubungan Adam dengan isterinya, Maya juga mula keruh dan mereka sering bertengkar. Adam seorang yang ego. Dia tidak dapat menerima teguran dari Maya. Tambahan pula, kehidupan Maya lebih stabil daripadanya kerana Maya seorang pensyarah.
Suatu hari, Adam berkenalan dengan seorang lelaki misteri yang bernama Ali. Ali seorang yang pintar dan bijak menangani masalah Adam, tetapi dengan menggunakan jalan pintas yang salah. Ali mengajar Adam memperoleh pendapatan lebih melalui berjudi dan merasuah orang-orang berkepentingan demi mendapatkan projek-projek.
Menurut Ali, wang haram yang diperoleh melalui perjudian itu dapat disucikan dengan berzakat. Tanpa berfikir panjang, Adam yang sememangnya jahil dalam pendidikan agama terus setuju dengan nasihat Ali. Syarikat Adam kembali maju dan Adam mula bercurang di belakang Maya.
Episod Ketiga: Pengasih (30 Oktober)
Eman Dagu meminati Hanis, anak kepada seorang janda, Mak Jah tetapi Hanis tidak melayannya. Eman Dagu tidak mempunyai rupa yang kacak, tidak pernah mendapat perhatian daripada perempuan. Jadi, dia telah mendapatkan minyak dagu melalui kawannya, Adam.
Ada beberapa syarat yang mistik tetapi kelakar perlu dilakukan oleh Eman Dagu. Antaranya, tidak boleh memakai baju warna putih, tidak boleh bermain takraw dan tidak boleh makan ayam goreng KFC. Malahan, Eman Dagu perlu duduk atas bumbung rumah untuk menikmati embun pagi pada pukul 2 pagi dan dia juga perlu mandi di bawah jambatan setiap malam.
Selepas itu, dia mula mahu mencalit minyak dagu ke Hanis tetapi tidak berpeluang. Akhirnya, dia merancang untuk mencalit minyak dagu itu di pemegang pintu kereta Hanis. Mak Jah muncul secara tiba-tiba dan dia tercalit ke Mak Jah. Apakah yang akan berlaku?
Episod Keempat: Malam Jumaat (6 November)
Anis dan Farah telah menyewa sebuah rumah yang agak buruk di kawasan kampung kerana terdesak untuk mencari rumah sewa. Setiap kali malam Jumaat, Anis akan terbau haruman yang sangat wangi.
Anis seorang yang penakut, setiap kali terbau, akan meremang bulu romanya. Sejak itu, malam Jumaat menjadi malam misteri untuk dia dan Farah. Ditambah pula sudah menjadi kepercayaan masyarakat bahawa malam Jumaat roh-roh akan pulang ke rumah. Selain roh orang meninggal, orang tua-tua dahulu kala juga sering menakutkan kanak-kanak bahawa malam Jumaat hantu-hantu bekeliaran.
Namun, Farah tidak tahu sebenarnya Anis terlibat dengan insiden langgar dan lari. Anis terus memecut kereta setelah terlanggar seorang warga tua kerana tiada saksi di tempat kejadian. Anis percaya roh mangsa yang dia langgar itu datang mengganggunya.
Ingin ketahui kesudahan kisahnya? Jangan ketinggalan untuk menyaksikan �Kifarah Mistik� yang menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Elizad Sharifuddin, Aqasha, Nur Risteena, Nonny Nadhirah, Faezah Elai, Shukri Yahaya, Uqasha Senrose, Issey Titan, Jay Iswazir dan ramai lagi dalam pelbagai kisah mistik sepanjang 13 episod ini.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan kesudahan bagi setiap episod yang dipaparkan dan disertakan dengan kesimpulan bagi setiap kejadian yang berlaku dalam �Kifarah Mistik� ini pada setiap Jumaat, pukul 9 malam menerusi slot Zehra.
Out Of Topic Show Konversi KodeHide Konversi Kode Show EmoticonHide Emoticon