Pembuat Permainan Video Rancang Bina Taman Tema Indoor Canggih Di KL


KUALA LUMPUR: R-Segari Group Sdn Bhd bekerjasama dengan Ubisoft Motion Pictures yang berpangkalan di Perancis untuk membina taman tema indoor canggih dan pembinaannya dijangka bermula awal 2016.

Pengerusi R-Segari, Ramelle Ramli berkata, syarikat itu sedang menetapkan lokasi taman di Kuala Lumpur dan akan hanya mendedahkan reka bentuknya dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Taman tema itu akan dibuka pada 2020 dan kami sedang mengkaji dua lokasi dengan keluasan 2.02 hektar dan 4.04 hektar," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan kerjasama dengan Ubisoft Isnin.

Ramelle berkata, R-Segari akan menjadi pemaju dan bertanggungjawab ke atas reka bentuk, pembinaan taman selain pembiayaannya.

"Kami akan umum kos projek serta nilai pembangunan kasar tidak lama lagi," katanya dengan menambah, Ubisoft akan menyediakan harta intelek dan teknologi digital untuk taman berkenaan.

Menurutnya, pembangunan taman tema di Malaysia akan memanfaatkan negara ini kerana ia akan menarik lebih ramai pelancong.

"Kita memerlukan hiburan bertaraf dunia, di samping tarikan alam semula jadi negara dan pasaran domestik mampu menyerap taman tema standard antarabangsa...
selain kementerian pelancongan bersikap terbuka bagi menarik lebih ramai pelancong," katanya.

Genting Group Bhd akan membuka 20th Century Fox World Theme Park pertamanya tahun depan dan lebih banyak taman tema akan diperkenal di Johor.

Studio Taman Animasi Filem kini sedang dibangunkan di Perak.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Ubisoft Motion Pictures, Jean de Rivires berkata, kedudukan Malaysia sebagai negara kedua paling kerap dilawati di Asia serta kerjasama rapat daripada Kementerian Pelancongan, telah menarik syarikat itu ke negara ini.

"Pada masa lalu, Ubisoft telah membangunkan filem dan pertunjukan televisyen dan ada potensi kami akan membangunkannya juga di Malaysia," katanya.
Previous
Next Post »
Thanks for your comment