Drama Waris Kasih -penderitaan Hidup 5 Beradik

Siapakah yang tidak mengimpikan sebuah kehidupan yang indah tanpa bebanan kewangan dan bahagia di samping insan yang dicintai? Namun, Zaleha ataupun Long bukan sahaja terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai seorang ayah dan ibu pada usia remaja malahan dia juga perlu melakukan pengorbanan demi masa depan adik-adiknya.

Terbaharu di slot Azalea TV3, drama bersiri �Waris Kasih� terbitan Temenggong Pictures Sdn. Bhd. telah mula disiarkan pada 31 Ogos, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 4 petang. Drama bersiri 20 episod yang diarahkan oleh Zul Huzaimy ini menampilkan barisan pelakon handalan seperti Farisha Irwayu (Zaleha/Long), Zamarul Hisyam (Kamarul), Johan As�ari (Zamani), Nisha Dirr (Zuriati), Tasha Aziz (Zurina), Zain Hamid (Zairul), Tengku Putri Najuwa (Atiqah), Hanafi Rahman (Fendi) dan ramai lagi.

20 tahun lalu, Long yang masih berusia 18 tahun tinggal bersama ibu dan adik-beradiknya iaitu Zurina (15 tahun), Zuriati (12 tahun), Zairul (10 tahun) dan Zamani (5 tahun). Zurina seorang pelajar yang cemerlang manakala Zuriati, pendiam dan sering memendam perasaan. Zairul pula nakal dan degil.

Selepas ayah mereka meninggal dunia, Long menolong ibunya, Wan Puteh, menoreh getah dan menjual nasi lemak untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga. Long dan Kamarul berkawan baik. Walaupun masing-masing menyimpan perasaan cinta tetapi tidak diluahkan.

Sahak sering mendesak Wan Puteh menjual tapak rumah itu bagi melangsaikan hutang arwah suaminya. Malahan, Sahak yang cemburu melihat anak saudaranya, Kamarul berkawan baik dengan Long telah meminta Wan Puteh mengahwinkan Long kepadanya. Long bernasib baik kerana Pak Chu, adik kepada arwah ayah tampil untuk membantu menyelesaikan hutang tersebut.

Namun, hari-hari yang senang tidak lama apabila Wan Puteh meninggal dunia akibat patukan ular. Bermulalah kehidupan Long membesarkan adik-adiknya sendirian setelah berhenti sekolah. Long dan adik beradik kini menumpang kasih dengan Pak Chu dan Mak Chu.
Zuriati menjadi semakin pendiam kerana terlalu rindukan Wan Puteh. Zairul pula semakin nakal, selalu bergaduh, mencuri dan suka memberontak. Long kecewa dan tertekan tetapi dia tidak putus asa. Kamarul berjanji kepada Long bahawa dia akan bekerja keras dan akan mengahwini Long.
Long terkejut apabila Sahak menghantar rombongan meminang ke rumah Pak Chu. Adik-adiknya mendesak Long menerima sahaja Sahak kerana mereka rasa Sahak mampu membawa mereka keluar dari jalan kemiskinan, terutama Zairul. Zairul berkeras mahu Long berkahwin dengan Sahak kerana bosan hidup dalam kesusahan. Long buntu.

Akhirnya, Long rela melakukan pengorbanan demi masa depan adik-adiknya. Apakah akan terjadi dengan Long selepas 20 tahun? Adakah Long akan bahagia selepas adik-adiknya berjaya dalam hidup? Saksikan �Waris Kasih� menerusi slot Azalea TV3 pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 4 petang.
Previous
Next Post »
Thanks for your comment