Kisah adik Mohamad Arif Abdullah aka Buntat

Buntat Arif

Rosdiana Mastura Abdullah, 30, berkata biarpun berdepan masalah menyusun ayat dan sukar menuturkan kata-kata seperti kanak-kanak normal, Arif yang mengalami masalah disleksia, mempunyai daya ingatan kuat hingga mampu menghafal skrip.

Ibu kanak-kanak berusia 12 tahun, Mohamad Arif Abdullah yang mencetus fenomena gara-gara watak Buntat lakonannya dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku, bangga anaknya memiliki daya ingatan kuat.

"Ketika penggambaran tidak ada masalah, cuma jika ada siaran langsung, Arif agak kekok. "Sebab itulah saya minta kalau boleh sebelum bersiaran, buat latihan dulu. Bila kita tengok dia main-main dan tak serius, kita ingat dia tak fokus. Jadi, buatkan kita risau. Sebaliknya, ingatan Arif sangat kuat dan dia hafal apa yang dibaca.

"Nampak macam dia tak serius, sebaliknya, bila pergi ke set, saya agak terkejut tengok dia boleh buat seperti apa yang diarahkan skrip," katanya. Rosdiana berkata, dia terkejut apabila watak Buntat lakonan anaknya menjadi viral.

"Adegan kematian Buntat menjadi babak kedua trending selepas adegan Buntat datang ke Kuala Lumpur. Saya tak sangka babak kematian Buntat memberi kesan kepada penonton," katanya yang berbangga dengan pencapaian anaknya itu.

Rosdiana berkata, selepas ini, dia dan suami, Abdullah Kassim, 50, mahu mengatur jadual Arif dan memilih watak yang sesuai dilakonkannya. "Ini kerana saya tidak mahu dia melakonkan watak sama.

Watak dalam filem Jibam dan Buntat mempunyai persamaan, cuma berbeza daripada aspek percakapan," katanya. Berkongsi perkembangan terbaharu, Rosdiana berkata, anaknya sudah mendapat tawaran berlakon sebuah lagi filem.

"Bagaimanapun, kita akan tengok kesesuaian watak yang perlu dilakonkan dalam filem terbabit," katanya. Ketika ditemui, Arif tidak kekok malah sentiasa mengukir senyuman biarpun hanya melontarkan sepatah demi sepatah perkataan setiap kali soalan diajukan. Namun, Arif mesra dengan siapa saja yang mahu bergambar dengannya. - BHarian
Previous
Next Post »
Thanks for your comment