Ingin Berlakon Bercorak Biografi

Lara Cinta Ameena

Dalam usaha mencabar kemampuan diri, pelakon Tiz Zaqyah, 28, teringin menjayakan filem atau drama bercorak biografi atau biopik. Tiz atau nama penuhnya Siti Zaqyah Abdul Razak, berkata keinginan itu begitu membuak-buak apatah lagi beliau menyifatkan watak yang perlu dibawa setiap pelakon dalam genre sedemikian bukan mudah.

"Watak dalam karya sebegitu agak mencabar dan ia memerlukan kajian yang sebaiknya agar karakter dilakonkan sama dengan watak individu daripada cerita asal. "Tetapi, nak buat macam mana, agak sukar untuk masyarakat kita menerima karya berkonsep biopik kerana sensitiviti yang ditonjolkan," katanya.

Tiz turut menegaskan, beliau teringin melihat industri perfileman berkembang dengan memaparkan kepelbagaian cerita tanpa sebarang sekatan. Walaupun maklum isu berkenaan sudah sekian lama dibincangkan, namun ia dilihat masih lagi pada takuk sama.

"Saya teringin melihat karya kita yang pelbagai. Kita perlu lebih terbuka dalam berkarya, barulah boleh mendidik penonton. "Saya tahu topik ini sudah lama diperkata, tetapi kita perlu berubah dari sekarang. Bagaimanapun, berdasarkan beberapa filem diterbitkan sejak kebelakangan ini seperti Redha dan Pekak, sedikit sebanyak perubahan itu dapat saya lihat," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Tiz baru saja selesai menjalani penggambaran drama Lara Cinta Ameena untuk siaran TV3. Selain dirinya, drama berkenaan turut menampilkan Raja Afiq dan Zarina Zainoordin. - BHarian
Previous
Next Post »
Thanks for your comment