Filem Pasir Salak Pasir Berdarah arahan Mamat Khalid

Pasir Salak Pasir Berdarah

Filem Pasir Salak Pasir Berdarah berkisarkan pahlawan terbilang Pasir Salak, Datuk Maharaja Lela dan Tok Sagor menentang penjajahan British yang diketuai JWW Birch itu akan memulakan penggambarannya tahun depan.

Filem Bertemakan Sejarah

Impian sutradara terkenal, Mamat Khalid untuk mengarahkan filem bertemakan sejarah menjadi kenyataan apabila bakal muncul dengan buah tangan terbaharu, Pasir Salak Pasir Berdarah.

"Skrip filem ini sudah siap dan mengambil tiga sudut pandangan berbeza iaitu Datuk Maharaja Lela, pihak British dan rakyat sendiri. Selebihnya, terpulang kepada penonton untuk membuat penilaian.

"Saya akan menyerahkan skrip filem ini kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk mendapatkan dana kerana pembikinannya menelan belanja kira-kira RM 6 juta," katanya.

Mamat berkata, tidak mudah untuk menghasilkan filem berunsur sejarah kerana ia menuntut penyelidikan yang teliti, selain pemilihan pelakon yang bersesuaian dan berkarisma.

"Kerja penyelidikan untuk skrip filem ini sudah bermula sejak tahun lalu. Filem bertema berat seperti ini memerlukan gabungan pelakon yang hebat.

Pelakon Yang Membintangi

Ada beberapa nama besar yang terpilih untuk membawakan watak penting dalam filem ini antaranya:
  • Datuk Rahim Razali
  • Eman Manan
  • Datuk Ahmad Tarmimi Siregar
  • Datuk M Nasir
  • Bront Palarae
  • Hasnul Rahmat
  • Khir Rahman

Sementara itu, menerusi akaun media sosial Facebook miliknya, pengarah itu turut memuat naik beberapa klip video beberapa babak yang dipotong daripada filem Rock Bro. Selepas filem itu ditayangkan, Mamat bagaimanapun, memadamkan video berkenaan.

Mengulas tindakannya, Mamat berkata tujuannya berbuat demikian adalah untuk berkongsi babak yang dirasakan menarik dan pada sama sama, mengajak peminat filem itu berdiskusi.

Rock Bro 3 Jam

"Pada asalnya durasi filem ini adalah tiga jam, tetapi disunting menjadi sejam lebih. Bagi saya, babak yang disunting itu mempunyai impak tersendiri dan perlu dikongsi dengan peminat. Saya ingin mendapatkan pandangan penonton berhubung babak yang disunting itu.

"Tidak sangka mereka sanggup tunggu sehingga pagi semata-mata mahu menyaksikan klip video itu," katanya yang teruja kerana selepas hampir tiga minggu ditayangkan, filem lakonan Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Azmi Baharon dan Amy Juliet itu mencecah kutipan hampir RM6 juta.
Previous
Next Post »
Thanks for your comment