Senarai drama dan telemovie sempena Bulan Kemerdekaan (2016)


31 Ogos merupakan detik paling bersejarah buat negara kita Malaysia kerana bebas daripada belenggu penjajahan. Pada tahun ini, sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2016 masih mengekalkan tema Sehati Sejiwa. Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad turut memeriahkan sambutan bulan Kemerdekaan Malaysia ke 59 dengan menawarkan pelbagai program yang menerapkan semangat perpaduan dan patriotik untuk tontonan seisi keluarga.

Berikut beberapa telefilem dan program bual bicara istimewa pada bulan Ogos dan September ini.

TV3
Tuah, 26 Ogos 2016 (Jumaat), 1.30 petang
Seorang lelaki telah menyelamatkan Datuk Shaari dan anaknya Sahira daripada seorang penjenayah. Oleh kerana lelaki itu cedera di bahunya, Datuk Shaari membawanya pulang ke rumah. Apabila lelaki itu sedar, dia memperkenalkan dirinya sebagai Hang Tuah, pahlawan Melayu pada abad ke-15.

Ketika sedang bersiar-siar di negeri Melaka, dia ternampak sebuah potret Sultan Anuar Alauddin Shah. Tuah menyatakan bahawa wajah di potret itu mirip Hang Jebat. Menurut cerita orang lain, Jebat mengamuk dan membunuh Sultan Mahmud setelah mendapat tahu bahawa Tuah dihukum bunuh dan menggelarkan dirinya sebagai Sultan. Tuah menjadi marah lalu berusaha mencari jalan pulang ke zamannya untuk menyekat tindakan Jebat.

Lakonan: Jamal Abdillah, Erma Fatima, Mustapha Maarof, Faizal Hussein, Zami Ismail


Cerekarama: Kabus Hati Laila, 27 Ogos 2016 (Sabtu), 9.00 malam
Kassim Bin Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Abang Kassim, baru sahaja meninggal dunia. Arwah Abang Kassim meninggalkan isterinya Laila, dan dua orang anaknya yang bernama Ayim dan Yuni.

Pada suatu hari, seorang wanita bernama Anita dengan seorang budak kecil telah muncul. Laila baru mendapat tahu yang rupa-rupanya, abang Kassim mempunyai dua keluarga selama ini. Dia terpaksa menerima Anita dan membenarkan Anita tinggal di rumahnya selama tiga hari.

Laila meluahkan perasaan kecewanya kepada Hambali, kawan baik Kassim. Sejak kematian arwah abang Kassim, barulah Laila sedar yang kehidupan mereka dikelilingi hutang dunia.

Lakonan: Namron, Amirul Affendi, Sherry Merlis, Dayana Roza, Mohd Saidi Sabri


Sut Putih, 30 Ogos 2016 (Selasa), 2.00 petang
Mengisahkan Siti, seorang jururawat yang baru tamat latihan, telah dihantar untuk berkhidmat di kawasan pedalaman. Kehadiran Siti adalah untuk membantu masyarakat yang lebih memerlukan.

Meskipun Siti merupakan seorang anak orang berada, dia sanggup menempuh dugaan hidup demi mencapai impiannya untuk menjadi seorang jururawat yang berjasa kepada seluruh bangsa.

Lakonan: Zara Zya, Aidil Aziz, Syaffiq Sahli, Sharifah Shahora, Arash Mohamed, Khatijah Tan, Marisa Yasmin


Konsert Sehati Sejiwa, 30 Ogos 2016 (Selasa), 11.00 malam
Konsert yang bertemakan �Bertuahnya Bumi Ini, Sehati Sejiwa� membariskan artis - artis popular seperti Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Ella, Jaclyn Victor, Elizabeth Tan, Yasin, Tomok, Azmil, Fareez Mentor, Qody Mentor, Wanie Mentor, Sandra dan ramai lagi.

Hos: Marsha Milan, AG Hot FM, Fiza Sabjahan


Malaysia Hari Ini Medeka, 31 Ogos 2016 (Rabu), 7.00 pagi
Liputan siaran langsung di acara Perbarisan dan Perarakan Merdeka juga akan disiarkan menerusi Malaysia Hari Ini, selain temubual eksklusif bersama masyarakat awam dan tetamu jemputan yang bakal berkongsi pengalaman merdeka.


Wanita Hari Ini Medeka, 31 Ogos 2016 (Rabu), 12.02tengahari � 1.00 tengahari
Episod khas untuk Hari Kemerdekaan memaparkan temubual eksklusif bersama beberapa orang wira dan wirawati yang merupakan rakyat biasa. Mereka telah banyak memberi bantuan dan menjadi inspirasi kepada orang lain.


Teroka, 31 Ogos 2016 (Rabu), 2.00 petang
Kepulangan Rohana selepas mendapat ijazah membuatkan Mahani dan Baharom, ibu bapa Rohana, menetapkan syarat ke atas bakal menantu mereka. Rohana berkenalan dengan Borhan, seorang pemuda biasa dari kampung. Walaupun tidak memegang jawatan besar, Borhan seorang yang bijak dan mempunyai ilmu yang luas.

Mereka telah jatuh cinta. Pada tahun itu, kerajaan telah membuka peluang kepada rakyat untuk meneroka tanah baru supaya boleh diusahakan menjadi ladang getah. Rohana menggesa Borhan untuk merisiknya secepat mungkin kerana dia tahu yang Borhan bakal menjadi lebih sibuk setelah melibatkan diri dalam penerokaan tersebut. Tambahan lagi, Mahani dan Baharom telah merancang perkahwinan Rohana dengan seorang jejaka bernama Khalid.

Lakonan: Adi Putra, Faye Kusairi, Mahmud Ali Bashah, Jasmin Hamid, Hairi Safwan


Epok, 31 Ogos 2016 (Rabu), 9.00 malam
Mengisahkan Epok yang cuba membaiki hubungan tegang antara dia dan bapanya, Pak Din, melalui sukan badminton. Dia berasa hairan akan minat dan usaha Pak Din yang bersungguh-sungguh melatihnya bermain badminton, sedangkan dia langsung tidak menunjukkan minat.

Segalanya berubah apabila satu hari, guru Pendidikan Jasmani mengarahkan semua murid kelasnya untuk bermain badminton. Epok mula meminati sukan tersebut. dan dia akhirnya sedar bahawa usaha Pak Din adalah untuk menanam semangat serta kekuatan mental dan fizikal.

Dengan pandangan dan keyakinan baru, Epok mula mengeratkan hubungan dengan ayahnya yang kebetulan ketika itu adalah musim Thomas Cup.

Lakonan: Adik Izuan Fitri, Eman Manan, Harris Alif, Sean Lee, Bella Dowana


Ok Bah Kalau Kau, 16 September 2016 (Jumaat), 10.00 malam
Azman berkahwin dengan Laila, seorang gadis Sabah yang bukan pilihan ibunya, Puan Rahmah. Laila berusaha untuk berbaik-baik dengan ibu mertuanya itu. Rahmah juga berselisih pendapat apabila Laila banyak mengamalkan adat istiadat Sabah, terutamanya ketika Laila sedang mengandung dan terlalu banyak pantang larang yang dilakukan oleh Laila.

Pada suatu hari, Puan Rahmah tiba-tiba berbaik dan menjadi rapat dengan Laila. Puan Rahmah juga semakin berminat untuk belajar budaya dan adat istiadat orang Sabah dengan Laila. Apakah muslihat di sebalik kebaikan Puan Rahmah?

Lakonan: Ungku Ismail Aziz, Nonny Nadirah, Lia Natalia, Amyza Azna, Sabhi Saddi


Cerekarama: Anak Mat Salleh Tapi Melayu, 17 September 2016 (Sabtu), 9.00 malam
Mengisahkan tiga orang anak gadis kacukan Melayu-Inggeris yang membesar di luar negara dan tidak dapat menyesuaikan diri mereka setelah pulang kembali ke Malaysia. Datuk Borhan, bapa kepada ketiga-tiga gadis itu, meminta tolong daripada Nek Mah untuk mendidik anak-anaknya bergaul dengan masyarakat kampung.

Ketibaan Nek Mah disambut dingin oleh mereka. Sejak mereka tinggal bersama Nek Mah, pelbagai perkara baharu yang mereka pelajari.

Lakonan: Diana Danielle, Amelia Henderson, Jelita Kako, Ridzwan Hashim, Zarina Zainuddin, Yusof Hashim, Aznah Hamid, Sasa DFKL

TV9
Superstra, 25 Ogos 2016 (Khamis), 9.30 malam
Norman merupakan seorang pelakon tambahan yang ingin menjadi pelakon terkenal. Dia telah berlakon dalam sebuah produksi sebagai pelakon tambahan bersama-sama dengan kawan baiknya, Johan. Di lokasi penggambaran, Norman bertemu dengan seorang pelakon tambahan wanita bernama Illyana dan mereka menjadi rapat.

Pelbagai insiden berlaku di lokasi penggambaran, termasuklah perselisihan pendapat antara Norman dan pelakon utama drama tersebut, Amin. Norman terasa terkilan apabila mereka diasingkan dari pelakon utama ketika waktu rehat utama.

Keadaan ini membuatkan Norman berusaha untuk mengambil hati pengarahnya supaya dia akan diberi watak penting dalam drama itu.

Lakonan: Anas Ridzuan, Johan As�ari, Mira Amnas, Mustaqim Bahadon, Aziz M. Osman dan Afdlin Shauki


Skrin di 9: Kapcai Ayah, 29 Ogos 2016 (Isnin), 8.30 malam
Haikal bangga dapat membonceng motosikal bersama ayahnya ketika dia masih kecil. Namun, perasaan itu mula hilang, walaupun motosikal itu masih menjadi pengangkutan tetap ayahnya. Jamil sangat sayangkan motosikalnya walaupun luarannya sudah buruk.

Baginya, dia akan menggunakan khidmat motornya itu selagi boleh. Haikal yang semakin dewasa mula lupa akan jasa motosikal itu kepadanya, dan berasa malu sekiranya Jamil menunggang motosikal tersebut. Akhirnya, Haikal sedar
bahawa motosikal tersebut yang menjadi penyelamat hidup ketika dia berada di saat genting.

Lakonan: Hasnul Rahmat, Marissa Yasmin, Saharul Ridzwan, Hanna Aqeela


Din Sardin, 30 Ogos 2016 (Selasa), 10.30 malam
Kisah Din Sardin, seorang mat rempit yang telah jatuh cinta dengan seorang pegawai JPJ wanita bernama Cik Ta. Ketika Din mengambil ujian memandu kereta, Cik Ta merupakan pegawai bertugas yang akan menguji Din. Mungkin jodoh tak ke mana, Cik Ta juga merupakan pegawai yang menyaman Din ketika dia ditangkap atas kesalahan lalu lintas.

Dapatkah mat rempit seperti Din Sardin menambat hati Cik Ta, si pegawai JPJ itu?

Lakonan: Izzue Islam, Mira Filzah, Niena Baharun, Amir Pelawak, Delimawati, Kazar Saisi


Skrin di 9: Cinta 3 Rasa, 19 September 2016 (Isnin), 8.30 malam
Tiga orang gadis berbangsa Melayu, Cina dan India yang bercita-cita ingin menjadi isteri kepada seorang CEO perbankan yang bujang terlajak. Jejaka itu sangat cerewet dan hanya ingin yang terbaik mengikut seleranya. Mereka bertiga mula bertungkus lumus untuk menyediakan pelbagai jenis juadah mengikut etnik masing-masing, demi memenuhi selera jejaka tersebut.

Lakonan: Fezrul Khan, Uqasha Senrose, Sharifah Sakinah, Lia Natalia, Ebby Yus


Beca Ayah, 15 September 2016 (Khamis), 9.30 malam
Mengisahkan Pak Ndak dengan beca tercintanya. Anaknya, Rahim merupakan seorang pengurus berjaya yang memahami betapa bermaknanya beca itu kepada ayahnya. Beca itu telah mengeratkan hubungan dalam kalangan keluarga dan jiran-jiran mereka, malah beca itu juga menyebabkan Rahim lebih menghargai isteri dan anaknya. Rahim juga mula menyedari erti sebenar kemerdekaan.

Lakonan: Kazar Saisi, Aidil Aziz, Nur Risteena Munim, Rykarl Iskandar
Previous
Next Post »
Thanks for your comment