Buku Sedekad Remy Ishak

"Saya tidak menganggapnya sebagai buku autobiografi, tetapi lebih kepada menyorot perjalanan seni saya dari awal hingga ke tahap sekarang.

Pelakon, Remy Ishak, merancang penerbitan sebuah buku khas mengenai perjalanan kerjayanya sempena 10 tahun dalam arena seni, tahun ini.

Bintang yang cukup dikenali menerusi drama dan filem Nur Kasih ini berkata, buku yang berkemungkinan menggunakan judul Sedekad - Remy Ishak itu akan berada di pasaran sekitar Oktober atau November depan.

Aktor berusia 34 tahun yang bakal menemui penonton dengan filem terbaharu, Redha, mulai 14 April ini menjelaskan, buku terbabit dihasilkan sebagai hadiah untuk peminat dan penyokong setianya.

Remy Ishak

Saya lihat ia boleh menjadi rujukan kepada mereka yang pernah bertanyakan mengenai asal-usul saya. Pejam celik, saya sendiri tidak menyangka sudah 10 tahun berada dalam bidang ini.

"Saya pernah melalui kesukaran pada awal pembabitan dulu. Saya juga pernah mencuba pelbagai kerja, termasuk menjadi kelindan lori, buruh kasar dan bekerja di hotel sebelum terjun ke dunia lakonan.

Semua itu banyak mengajar saya erti hidup dan ia antara cebisan yang akan dikongsi dalam buku itu," katanya kepada BH Online.

Tahun ini, pemilik nama penuh Mohammad Zalimei Ishak ini juga menunjukkan taringnya apabila bergelar finalis dalam dua kategori Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29, iaitu Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular.

ABPBH 29 akan mencapai kemuncaknya pada 8 Mei depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

"Saya ada berlakon dalam beberapa drama dan telefilem, tahun lalu. Filem pula hanya Pilot Cafe.

Sesuatu yang saya perhatikan, banyak filem saya disiarkan semula di kaca TV seperti CEO dan Sembunyi: Amukan Azazil. Ada dalam kalangan mereka yang menontonnya baru menyedari, ada cerita bagus seumpama itu, tetapi tidak ditonton di pawagam," katanya yang baru-baru ini turut terbabit dalam teater Muzikal Randai Cinduo Mato, di Istana Budaya.

Sumber BHarian
Previous
Next Post »
Thanks for your comment