Bila bakal ke konsert akhir AF2015 - Puji Ramli MS



KUALA LUMPUR: Salah seorang peserta Akademi Fantasi 2015, Bila boleh tersenyum lebar apabila pengkritik tetap program terbabit memuji kelantangan vokal gadis bertubuh gempal itu. Nurnajmi Nabila Samsaidi atau lebih mesra disapa Bila, menghiburkan peminat dengan lagu Semoga Abadi pada persembahannya malam tadi. Biarpun keadaan kesihatannya kurang mengizinkan, namun Bila berjaya menyampaikan lagu berkenaan dengan baik.

Juri tetap, Datuk Ramli MS mengakui melanggar prinsipnya dengan memuji persembahan Bila dan berharap agar gadis itu akan mara ke pusingan akhir. "Jujur saya akui tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu kerana ia tidak adil untuk pelajar lain. Namun, saya harus mengakui bakat dimiliki Bila dan melanggar prinsip saya dengan mengatakan dia layak ke pusingan akhir nanti. "Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan Bila adalah pelajar paling baik sepanjang program Akademi Fantasia bersiaran.

"Dia dianugerahkan bakat untuk menjadi penyanyi dan saya sendiri pernah mengatakan kepadanya agar bersyukur kepada Allah atas kurniaan bakat itu," katanya kepada BH Online. Gadis berusia 19 tahun itu berjaya mempamer persembahan mantap bagi kedua-dua lagu secara solo dan duet bersama Shahrul. Selain mendapat sorakan gemuruh daripada penonton, persembahan Bila turut mendapat pujian Fauziah Datuk Ahmad Daud selaku juri jemputan.

Fauziah atau mesra dengan panggilan Ogy, turut bersetuju dengan komen positif diberikan oleh Ramli kepada Bila. Beliau menganggap darah seni yang mengalir dalam tubuh anak kepada pemain bass Eddy Wings itu tidak dapat disangkal lagi. Sementara itu, konsert kelapan AF 2015 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam itu menyaksikan Syameel Aqmal Mohd Fodzly tersingkir kerana mendapat undian terendah. Bagaimana pun, Ramli menggunakan kuasa imuniti bagi mengekalkan pelajar itu untuk terus beraksi di pentas AF2015.

Mohammad Sufie Rashid (Sufi), Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman (Shahrul), Ang Hui San (Rachel) dan Alyssa Joanne Anak Jambi (Lisa) adalah barisan pelajar yang masih terus bersaing bagi merentap gelaran juara AF2015. Penyanyi bersuara merdu Ramlah Ram turut diundang bagi membuka tirai pentas AF2015 pada minggu ini. Manakala, Faizal Ismail dan Zizan Razak pula menggamatkan suasana selaku pengacara majlis.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/84945
Previous
Next Post »
Thanks for your comment